Kisah ini aku petik dari cebisan kisah hidup seorang anak gadis desa.
Tahun 1975, dia dilahirkan. Anak perempuan kedua bagi 10 orang adik beradik. Tahun-tahun awal kelahirannya, hidup keluarganya bahagia. Ayah seorang penghulu. Ibu seorang guru agama di sekolah rendah. Ustazah lah gelarannya di sekolah. Kelahiran demi kelahiran sehingga jumlah semua menjadi sepuluh orang. Wah. Ramainya. Ada yang memandang serong apabila anak terlalu ramai. Rapat Pulak tu. Tapi... Biarlah. Kan rezeki namanya. Allah beri anak pasti telah ditetapkan baginya rezekinya. Jangan risau.
"Yah! Tengok adik ni. kau ni pemalas sangat. Tengok adik pun malas." Mak suka membebel. Kalau dia penat di rumah, dia akan membebel. Aku istilahkan membebel sebab dah malas nak dengar. Nanti dia penat membebel, mak akan menjerit marahkan kami semua. Hukuman yang paling dasat yang kami terima ialah kena bakar! Takut. Ngeri. Mak akan hidupkan api pada kertas surat khabar lama. Dia akan memegang mana-mana dari kami yang penyebab masalah timbul. Api akan didekat-dekatkan kemuka, kaki, tangan. Tujuan menakut-nakutkan kami. Tapi yang sadisnya. Selepas sahaja abang ke, adik ke, atau aku sendiri yang kena macam tu, kami akan berkumpul bersama dan memujuk. Menggosok-gosok bahagian badan yang mungkin sakit. Kadang-kadang saling berpelukan. Sayang pada adik beradik. Tapi selalu bergaduh.
Long dan ngah. Tidak pernah bergaduh. Tidak seperti kami adik beradik yang di bawah mereka. Aku rasa sangat pelik hingga kehari ini. Kenapa mereka tidak pernah langsung bergaduh. Bercakap antara mereka pun dalam keadaan sangat tenang. Senyap sahaja. Kami semua suka menjerit. Long dan ngah selalu menjadi inspirasi kami adik beradik.
Kehidupan yang penuh kecoh. Rumah tidak pernah sunyi. Sunyi apabila hari sekolah. Cuti sekolah, mula lah berbalah. Berebut makan. Berebut permainan. Berlawan cakap. Kadang-kadang lawan sifir. Lawan eja. Abang atau kakak yang dah kelas tinggi, suka beri soalan yang susah-susah. Senang cakap, akan cakap dia lebih pandai dari adik-adik. Adik-adik mesti tidak dapat menjawab dengan betul. Permainan yang selalu kami main waktu cuti sekolah ialah main pondok-pondok. Aku suka buat pondok dari kayu hutan. Pondok yang boleh duduk 2 orang sahaja. Ada bumbung. Boleh berteduh bila hujan. Lepas tu, main masak-masak betul. Ambil periuk mak yang dah kemik. Masak guna kayu. Habis hitam periuk mak. Kadang-kadang masak dalam tin susu yang sudah kosong. Kalau pandai sikit, masak guna buluh. Rasanya sangat lazat. Nasi yang jelantah pun sedap. Maklumlah, hasil air tangan sendiri. Tolong mak masak di dapur, malas. Main masak-masak, rajin. Lepas tu kena marah dengan mak sebab habis periuk dia hitam. Kenalah sental sampai putih semula. Ada proses belajar kan di situ?
Aku masih kencing malam. Hingga sekolah rendah masih kencing malam. Tapi tidak lah hari-hari. Dalam setahun adalah 3 kali terkucil. Tapi ada satu rahsia. Saya takut mak marah, saya akan mengalihkan adik ke tempat bekas aku terkencing tu. Selepas itu, basahkan. sedikit seluar adik. Itu aku panggil sebagai strategi. Sebab adik aku memang nak kata dalam seminggu pasti akan kencing malam. Jadi dia dah biasa kena marah pasal kencing malam ni. Baik tak kakak dia? Adik jangan mara ye. Kakak sayang adik. Itu cuma nak selamatkan diri kakak ke dari kena marah dengan mak. Kakak minta maaf ye adik. Kesian adik. Tapi kakak tolong bersihkan tau tilam dan cadar yang kena. Tujuan tolong bersihkan, bukan untuk nak mak kata rajinnya anak mak. Tapi untuk tebus salah yang telah aku buat pada adik.
Adakah anda rasa cerita ini menarik? Nak baca lagi tak? Sila beri komen ye. Terima kasih atas perhatian anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan